NILAM Ismail, 67, (dua dari kiri) menunjukkan cara pakai pakaian tradisional baju kebaya bagi pelajar Sekolah Tinggi Kozu, Osaka, Jepun pada program 'Welcome to Homestay Teluk Bahang' di Dewan Majlis Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


BEBERAPA perkampungan kecil di Teluk Bahang meriah dengan kunjungan 387 pelajar dari Sekolah Tinggi Kozu, Osaka, Jepun.

Kunjungan mereka ke kampung terbabit adalah bagi menyertai program ‘Welcome To Homestay Teluk Bahang’ yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, di Dewan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Teluk Bahang.

Pengarah Urusan Safar Saeid Tour and Travel Sdn Bhd, Zainuddin Yusoff yang juga selaku penganjur program terbabit berkata, program berkenaan bertujuan memperkenalkan Teluk Bahang sebagai destinasi unik dan berbilang budaya kepada pelancong.

“Tambahan pula, sudah lama kawasan itu tidak dikunjungi pelancong dari Jepun dan kunjungan mereka kebiasaannya hanya tertumpu di Georgetown.

“Seingat saya kali terakhir program membabitkan pengunjung Jepun diadakan di sini ialah pada 2002 dan kerana itulah saya bersama beberapa pihak termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bahang, bekerja sama bagi menjayakan program ini.

“Selama setahun merancang, kami berpuas hati dengan kejayaan program ini dan wakil sekolah tinggi berkenaan juga memberi maklum balas yang positif,” katanya kepada media di Teluk Bahang, hari ini.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Pengetua SMK Teluk Bahang, Abdul Said Hussain serta Guru Besar Sekolah Tinggi Kozu, Yamazaki Teruaki dan antara aktiviti yang diadakan ialah persembahan tarian tradisional masyarakat Melayu, Cina dan India selain pertunjukan kompang.

Paling menarik, pelajar dibahagi kepada beberapa kumpulan dibawa ke rumah penduduk bagi merasai suasana kampung selain berpeluang memakai pakaian tradisi seperti baju kurung, baju kebaya, baju melayu dan pakaian tradisional masyarakat India, Jippa sebelum dibawa berjalan-jalan di kawasan kampung terbabit.

Menurut Zainuddin lagi, kerjasama penduduk kampung juga amat baik dan mereka bukan sahaja mengalu-alukan kedatangan pelajar ke rumah, malah turut menyediakan pakaian tradisional kepada peserta.

Malah, difahamkan terdapat beberapa penduduk yang mengambil cuti bekerja selama dua hari bagi turut serta dalam program berkenaan.

“Saya amat terharu dan berterima kasih dengan kerjasama penduduk dan bagi program akan datang, kami akan melakukan penambahbaikan dengan membawa mereka mencuba permainan tradisional selain berkunjung ke lokasi tumpuan yang lain.

“Kami berharap peserta akan menceritakan pengalaman mereka sepanjang berada di Pulau Pinang kepada penduduk di sana sekaligus dapat menarik pengunjung Jepun ke negeri ini,” katanya lagi.

Sementara itu, penduduk Kampung Kasa Mutiara, dekat sini, Nilam Ismail, 67, teruja dengan program yang membabitkan pelancong luar negara ke perkampungan mereka.

“Sejak seminggu lalu saya sudah sediakan enam pasang baju kurung, kebaya dan selendang supaya mereka tampak manis dalam pakaian tradisional.

“Selain milik anak, ada antara pakaian terbabit pernah saya pakai semasa remaja iaitu sekitar tahun 70-an, sekaligus mengembalikan nostalgia pakaian itu,” katanya.

Bagi peserta Ryu Kamikura, 16, pula pengalamannya memakai jippa amat menyeronokkan selain terpesona dengan keramahan penduduk walaupun dalam bahasa pertuturan yang berbeza.

“Tuan rumah membantu saya pakaikan jippa, bajunya mudah disarung tetapi bahagian kainnya pula perlu dibantu seseorang malah ia selesa dipakai,” katanya yang berasal dari Yao, Osaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:21 PM