LAPORAN Harian Metro, sebelum ini
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my

SERAMAI 23 mangsa kes keracunan akibat menikmati laksa kebok di Selangor dipercayai makan hidangan itu dalam satu majlis kesyukuran yang diadakan 5 Oktober lalu.

Menurut sumber, kes yang berlaku di negeri ini dipercayai berlaku selepas kesemua mangsa makan laksa kebok yang dibeli tuan rumah di Baling, Kedah sehari sebelum itu.

Katanya, laksa itu dikatakan dibawa oleh bapa mentua ‘tuan rumah’ bagi majlis kesyukuran yang diadakan pada Jumaat minggu lalu.

“Selepas sampai, laksa berkenaan dimasukkan ke dalam peti sejuk, sebaik lelaki itu tiba dari Kedah pada jam 4 petang Khamis.

“Laksa berkenaan kemudian dihidangkan kepada tetamu kira-kira jam 12.30 tengah hari pada keesokan harinya selepas dikeluarkan dari peti sejuk pada jam 9 pagi hari sama.

“Cara penyediaan adalah hanya menuang air panas pada mi laksa itu dan ia ditapis. Mi laksa itu dimasak sepenuhnya di Baling dan dibungkus seperti mi sanggul.

“Kuah laksa disediakan oleh tuan rumah sendiri pada malam 4 Oktober yang kemudian disimpan dalam periuk dan dibiarkan panas semalaman,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, daripada 27 orang yang dipercayai menikmatinya hanya 23 orang yang menunjukkan simptom keracunan makanan.

“Kesemua mereka mengalami simptom cirit birit, muntah, demam, sakit kepala dan juga sakit perut dipercayai selepas makan laksa berkenaan.

“Seramai tiga orang dimasukkan ke dalam Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan seorang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Cheras. Kesemua mereka berusia antara lapan tahun hingga 36 tahun.

“Selebihnya hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar membabitkan mangsa yang berusia antara setahun hingga 69 tahun. Semua pesakit dalam keadaan stabil,” katanya.

Berita berkaitan:

Pengusaha laksa kebok pasrah

[UPDATE] 42 lagi kes keracunan akibat laksa...?

[UPDATE] 'Reda dengan pemergian emak...'

'Kalau laksa beracun, dah lama kami mati'

Sah, dua maut 'makan' laksa...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:55 PM