CHEE Yuen ketika program tinjauan mesra di Pekan Port Dickson, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my

Port Dickson: “Saya tak sentuh isu politik, pening!”

Meskipun baru berjinak-jinak dalam dunia politik, calon Bebas, Kan Chee Yuen tidak menganggap ia satu kekurangan bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Perunding berusia 45 tahun itu mengakui seronok mengharungi pengalaman pertama sebagai calon PRK dan banyak melakukan aktiviti turun padang bertemu pengundi dengan tempoh kempen berbaki dua hari.

Chee Yuen berkata, kempennya masih fokus terhadap peningkatan ekonomi di Port Dickson kerana tidak suka menyentuh isu politik dan peribadi calon lain.

“Isu politik saya tidak mahu cerita kerana memeningkan kepala dan pastinya pengundi pun tidak gemar.

“Saya sendiri tidak suka. Saya ada fokus tertentu dan harap dapat berkempen dan bersaing secara sihat, maka saya lebih banyak mengetengahkan hal ekonomi dan perniagaan.

“Saya lebih banyak berkempen di kawasan perniagaan di Bagan Pinang, Lukut dan bandar Port Dickson,” katanya ditemui ketika melakukan tinjauan mesra di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 9:48 AM