PETIKAN rakaman video seorang lelaki memarahi penjaga parkir hotel yang tular di media sosial, baru-baru ini. FOTO Ihsan Pembaca
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


POLIS mengesahkan rakaman video memaparkan seorang lelaki memarahi penjaga tempat letak kereta sebuah hotel di ibu negara yang tular di media sosial, baru-baru ini berlaku pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, mengikut laporan pengadu, suspek berbuat demikian selepas penjaga parkir itu enggan menaikkan palang keluar hotel selepas mendapati lelaki terbabit tidak membayar tiket parkir berjumlah RM3.

“Kita terima laporan daripada pengadu yang juga penjaga parkir itu pada 19 September lalu.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan serius, cuma cedera ringan di bahagian lengan.

“Suspek sudah dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan sebelum kes dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 12:19 AM