ANGGOTA bomba berusaha membuka pintu kereta untuk mengeluarkan dua remaja lelaki di Kinabatangan, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


DUA remaja lelaki berusia 19 tahun ditemui mati dalam sebuah Perodua Myvi di Kinabatangan, hari ini.

Kedua-dua mangsa ditemui penduduk dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk hadapan jam 11.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, penduduk yang curiga dengan keadaan kedua-dua mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

“Ketika anggota polis tiba, enjin kereta masih hidup dan terdapat dua lelaki di bahagian kerusi hadapan dalam keadaan berbaring.

“Bagaimanapun, cubaan mengejutkan kedua-dua mangsa gagal apabila mereka langsung tidak memberikan sebarang tindak balas," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dikejarkan ke lokasi untuk membantu membuka pintu kenderaan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kinabatangan dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan terhadap mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat, dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 9:54 PM