Mohd Iskandar Ibrahim dan Veena Babulal
cnews@nstp.com.my


PENGUNDI Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson akan menerima panggilan telefon istimewa daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula hari ini, dengan mesej keluar mengundi pada Sabtu ini.

Panggilan telefon menggunakan teknologi ‘Robocall’ itu adalah rakaman suara Ketua Umum PKR terbabit yang memujuk pengundi supaya keluar mengundi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, inisiatif itu antara usaha bagi memastikan peratusan keluar mengundi meningkat pada hari berkenaan.

"Bermula hari ini sehingga Jumaat, pengundi dalam pangkalan data kita akan menerima panggilan telefon daripada Anwar.

"Panggilan automatik itu mengandungi rakaman suara Anwar untuk memujuk pengundi keluar mengundi.

"Ini antara usaha Pakatan Harapan (PH) mengajak orang ramai keluar mengundi," katanya pada sidang media Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.


NIK Nazmi pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, inisiatif itu adalah bagi merayu lebih 11,000 pengundi yang kini berada di luar Port Dickson supaya pulang mengundi.

"Saya berharap pengundi dapat memberi kemenangan selesa kepada Anwar, maka pengundi yang berada di luar Port Dickson diharap pulang mengundi.

"Ramai anak muda bekerja di luar Port Dickson dan mereka harus pulang mengundi Sabtu ini.

"Ini adalah peluang untuk meletakkan Anwar kembali ke Parlimen," katanya.

  • Lagi berita PRK Port Dickson
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 2:29 PM