Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my

Palu: Tumpang mandi di tandas lapangan terbang selain mendapatkan bekalan minuman air bersih dari masjid berhampiran.

Itu kepayahan dilalui lebih 1,000 pelarian bencana yang mencari perlindungan dan berkampung di sekitar Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri, di sini.

Mangsa malang ini mendirikan beratus khemah di kawasan lapang dan taman berhampiran lapangan terbang itu sejak gempa bumi dan tsunami berlaku pada 29 September lalu.

Belum ada tanda-tanda kumpulan dipanggil ‘pengungsi’ (pelarian bencana) ini akan mengosongkan kawasan lapangan terbang yang kini menjadi pintu masuk pihak sukarelawan dan tentera keluar masuk dari dalam dan luar negara.

Malah, bilangan warga Palu yang berpusu-pusu mahu berpindah keluar dari kota ini menuju ke Makassar atau Balik Papan dengan menaiki pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih berterusan saban hari.


KEADAAN khemah mangsa bencana yang dibina di hadapan Bandar Udara Mutiara Sis Al Jufri.

Seorang penghuni khemah kanvas ditemui wartawan, Fatir Jonny, 41, berkata, dia memilih untuk mencari perlindungan di lapangan terbang berikutan mudah untuk mendapatkan bantuan makanan dan air bersih.

Dia mendakwa memilih berpindah beramai-ramai ke kawasan berhampiran lapangan terbang selepas rumahnya di perkampungan Balaroa, Perumahan Perumnas, di sini, musnah sepenuhnya.

“Apa pilihan yang saya ada? Anak-anak perlukan perlindungan, makanan dan air bersih. Kami dapat tahu banyak bekalan makanan masuk ke Palu melalui lapangan terbang ini.

“Setiap hari kami diberikan sumbangan makanan sama ada mi segera, beras, biskut dan pelbagai makanan tin yang diagihkan pihak tentera atau sukarelawan,” katanya.

Menurutnya, dua anaknya Fatil, 13, dan Lisa, 18, selain isteri, Yuniaan Herdi, 40, terpaksa membiasakan diri dengan situasi baru tinggal di dalam khemah tanpa kemudahan lampu selain perlu bersesak dengan mangsa bencana lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 10:45 AM