AHMAD Zaini (kiri) bersama Dr Mohd Azizuddin (tengah) dan Azahar berbincang mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen P132.
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my

Port Dickson: Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menang dengan majoriti selesa jika peratusan keluar mengundi mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus.

Penganalisis politik Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kadar itu penting dalam menentukan kemenangan Ketua Umum PKR dalam PRK ini.

“Mengikut sejarah, Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 17,777 undi pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11), sebelum PKR menang di kerusi berkenaan pada PRU12 dan PRU13 dengan majoriti sangat kecil, iaitu kurang 3,000 undi.

“Bagaimanapun, pada PRU14 lalu, PKR menang dengan majoriti 17,710 undi yang disumbangkan oleh peratusan keluar mengundi yang sangat besar iaitu mencecah 85 peratus.

“Berdasarkan trend peratusan keluar mengundi yang tidak mencecah 50 peratus di PRK Seri Setia, Sungai Kandis dan Balakong sebelum ini, ada kebimbangan jika keadaan sama berulang, ia akan mengancam peluang Anwar untuk menang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas secara langsung di Facebook Berita Harian Online sempena PRK Port Dickson di Sri Pena di sini, semalam.

Temu bual bertajuk Anwar: Dari Port Dickson ke Putrajaya itu yang dikendalikan oleh Pengarang Eksekutif BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, turut menampilkan penganalisis media Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM, Azahar Kasim.

Mohd Azizuddin berkata, kehadiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad pada ceramah mega di sini, malam kelmarin, mampu menggalakkan lebih ramai pengundi keluar mengundi Sabtu ini.

Sementara itu, Azahar berkata, Anwar perlu menjadi Ahli Parlimen sekarang dengan sokongan Dr Mahathir bagi menunjukkan kepada rakyat kedua-dua mereka mempunyai hubungan baik, sekali gus membolehkan kerajaan PH berfungsi tanpa masalah.

“Isu (perselisihan) antara Anwar dan Mahathir ini besar dan jika tidak dikendalikan dengan baik akan menjadi masalah yang menjejaskan PH, seterusnya boleh merosakkan keseluruhan pembinaan kerajaan PH yang baru berusia lima bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 10:01 AM