DR Mahathir
Mohd Khidir Zakaria
news@nstp.com.my

Port Dickson: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam kelmarin, didakwa tidak menggugat peluang calon lain termasuk PAS.

Calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar berkata, kehadiran Perdana Menteri juga tidak memberi impak besar bagi Anwar.

“Dr Mahathir datang sebagai Perdana Menteri dan tidak menjanjikan apa-apa pembangunan di Port Dickson, cuma kisah lama.

“Pengundi melihat kehadiran Dr Mahathir gimik yang tidak mengubah apa-apa.

Perdana Menteri tak sebut pun Anwar bakal penggantinya, tak sentuh langsung,” katanya yang ketika melawat Pusat Mengundi Awal di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, semalam.

Mohd Nazari berkata, Dr Mahathir hanya datang meraikan pilihan raya dan bukan berkempen.

“Kesimpulannya, PAS tidak tergugat dan tidak terkesan kehadiran Perdana Menteri ke sini, malam tadi (kelmarin),” katanya.

Beliau turut yakin dengan peluang menguasai undi awal berdasarkan latar belakangnya yang pernah berkhidmat sebagai pegawai tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 10:00 AM