GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


KANAK-KANAK lelaki yang dilaporkan terjatuh dari tangga tingkat 20 ke tingkat 19 di flat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, 12 September lalu, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, (PPUM), semalam.

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 12.55 tengah malam.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa ada membuat satu laporan di Balai Polis Pantai, di sini, kelmarin, yang mendakwa kanak-kanak berkenaan cuba diliwat dan ditolak oleh lelaki Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Sebelum ini, kami ada mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan pihak hospital mengesahkan tiada bukti kejadian liwat pada tubuh badan mangsa.

“Justeru, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan pihak polis menafikan kanak-kanak berkenaan diliwat lelaki OKU seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Portal berita itu melaporkan kanak-kanak lelaki itu tidak dapat menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) selepas diliwat dan dicampak di tangga dari tingkat 20 ke tingkat 19 di flat berkenaan.

Laporan itu turut menyebut bahawa mangsa mengalami kecederaan pada otak akibat gegaran kerana terjatuh dan koma selama seminggu sebelum dilaporkan stabil.

Difahamkan kejadian itu bukan pengalaman ngeri pertama dilalui kanak-kanak terbabit yang pernah diganggu serta dibuli secara seksual oleh suspek sama sejak tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 11:55 AM