Amir Abd Hamid dan Yusmizal Dolah Aling dan Syazwan Msar
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, Indonesia memusnahkan sebahagian muka bumi Kota Palu, Sigi dan Donggala turut memberi kesan peribadi kepada Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan.

Beliau yang kebetulan berada di Makassar atas jemputan menghadiri satu program sewaktu bencana alam berlaku Jumaat lalu, segera membuat keputusan untuk ke kawasan terjejas bagi menghulurkan bantuan.

Katanya, usaha itu terbantut berikutan semua jaringan hubungan ke lokasi bencana terputus termasuk jalan raya dan pengangkutan udara.

Selain itu, jarak dari Makassar ke Palu sejauh 1,000 kilometer yang mengambil masa 24 jam jika memandu turut melewatkan usaha menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Katanya dia tiba di Palu jam 1 pagi kelmarin (2 Oktober) selepas tiga hari mencuba pelbagai cara untuk masuk ke kawasan bencana.


ZULKIFLI Wahijan.

“Mulanya nak pergi pada Sabtu iaitu sehari selepas gempa namun pesawat C-130 Hercules milik Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Udara (TNI-AU) penuh. Kemudian saya dimaklumkan perlu naik kapal laut pada jam 4 petang Ahad. Jenuh tunggu tapi tak ada juga.

“Kemudian, pada Isnin rakan daripada badan bukan kerajaan, Aksi Cepat Tanggap (ACT) membantu dan memberi izin mengikut mereka menaiki pesawat ke Palu.

“Dugaan lain pula timbul, pesawat terpaksa dilencongkan ke Mamuju, Sulawesi Barat berikutan lapangan terbang di Palu terlalu sesak,” katanya.

Sebaik tiba di Mamuju, Zulkifli cuba untuk mendapatkan penerbangan ke Palu namun gagal sehingga bermalam di rumah tumpangan.

Kelmarin, katanya, dia bersama sukarelawan ACT mengambil keputusan menyewa kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan memandu ke Palu.


PENDUDUK berjalan di celah runtuhan bangunan dan rumah selepas bencana gempa bumi disusuli tsunami melanda Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

“Saya pula jadi macam pelarian meminta ihsan rakan ACT, tak boleh nak keluar duit di bank, lapar dan sangat haus. Memang kali ini saya langsung tidak bersedia sebab asalnya dalam program lain berbanding ketika tsunami Aceh, saya berkumpulan memang tujuan untuk misi bantuan.

“Biasanya tempoh perjalanan dari Mamuju ke Palu cuma tujuh jam tetapi disebabkan banyak jalan rosak, perjalanan kami mengambil masa 11 jam.

“Seterusnya kami ke kem tentera Koren di Sulawesi Tengah untuk menumpang tidur. Hanya beralaskan plastik sebab sudah ramai sukarelawan berada di sana. Saya antara sukarelawan luar dari Indonesia yang terawal tiba,” katanya.

Menurutnya, ketika baru melelapkan mata dia dikejutkan dengan gempa susulan menyebabkan tiang bendera di kem tentera berkenaan hampir tumbang.

Zulkifli berkata, keadaan di kem berkenaan juga kurang selesa berikutan kekurangan bekalan air paip.

“Keesokannya saya ikut ACT ke hospital di Palu, luar dan dalam bangunan itu sesak dengan mangsa gempa. Saya turut ke operasi penggalian untuk mencari mayat atau mangsa masih hidup.

“Amat meruntun jiwa apabila melihat anggota penyelamat meletakkan mayat bayi mangsa gempa di atas talam, manakala mayat ibunya ditemui di celah runtuhan berlumpur.

“Apa pun, kepada semua sukarelawan yang bakal mengikuti misi bantuan, kena bersedia mental dan fizikal. Bekalan makanan dan air memang tak cukup. Semua kedai tutup, wang macam dah tak ada nilai di Palu sekarang ini,” katanya.


MAYAT disusun di lokasi tertentu sebelum ditutup dengan kain atau tilam untuk disemadikan beramai-ramai di kubur besar.

Esok sukarelawan misi bantuan gempa Muslim Care termasuk doktor dijangka berlepas ke Makassar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), sebelum ke Palu bagi membantu mangsa terjejas.

Masyarakat prihatin Malaysia yang mahu menyumbang kepada mangsa gempa boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Muslim Care Malaysia iaitu Maybank (5644 9041 3882), Bank Islam (14 0140 1014 7470) dan Bank Muamalat (14 0100 0765 4717)

SMS atau WhatsApp slip sumbangan kepada talian Hotline 011 500 500 35, Ustaz Rashdan 017 333 3881, Ustaz Safuan 013 488 6447, Haji Johari 016 997 8323 atau Haji Zulkifli 019 251 8771.

Zulkifli berkata, pihaknya menyasarkan RM1 juta untuk diagihkan kepada mangsa tsunami dan gempa bumi di Sulawesi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:46 PM