MINUMAN ini disahkan mengandungi steroid. FOTO KKM
Saadiah Ismail
saadiah_ismail@bh.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk dikenali sebagai Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar mengandungi bahan steroid iaitu dexamethasone dan prednisolone yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua jenis steroid berkenaan digunakan untuk merawat masalah bengkak dan radang yang serius.

Katanya, penggunaan secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing.

“Hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas produk berkenaan itu juga mendapati, syarikat yang mengedarkannya iaitu Sri Saga Marketing S/B tidak wujud dan melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

“Sehubungan itu, KKM melarang penjualan produk berkenaan termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok untuk menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

“Ini kerana di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyedia atau menjual makanan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan adalah suatu kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang awam disarankan segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan dan jika sudah mengambil produk terbabit dalam jangkamasa lama supaya tidak memberhentikan secara mendadak.

“Ini kerana ia boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 9:51 PM