SERAMAI 16 penagih dadah termasuk seorang ‘tokan’ dadah ditahan dalam satu operasi AADK Kuala Muda di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Jeniang, Gurun. FOTO Ihsan AADK
Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


WALAUPUN sudah dua kali menjalani hukuman penjara, namun langsung tidak menginsafkan lelaki apabila dia ditahan sekali lagi oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda ketika sedang menjual dadah di ladang kelapa sawit, di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang, Gurun, hari ini.

Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata, tokan dadah berusia 35 tahun ditahan bersama 15 penagih dadah yang lain termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 64 tahun dalam operasi yang bermula kira-kira 6 pagi hari ini.

“Suspek yang banyak menjalankan kegiatannya di kawasan itu adalah penduduk di kampung berkenaan.

“Suspek juga pernah mempunyai rekod mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama sebanyak dua kali dan dipenjarakan di Penjara Pokok Sena dan Penjara Jawi, Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, anggota AADK turut merampas dua plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis opiat dengan anggaran berat 1.7 gram serta syabu anggaran berat 0.25 gram.

“Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk jualan kepada penagih dalam kampung itu dan juga kawasan sekitar.

“Operasi dengan kekuatan lapan anggota itu dilaksanakan selepas rungutan demi rungutan diterima daripada orang awam berkenaan aktiviti tidak sihat itu yang menjadikan ladang kelapa sawit itu sebagai ‘port’ melepaskan gian sehingga menimbulkan aktiviti jenayah yang lain,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati mereka positif dadah jenis opiat dan syabu.

“Kita turut merampas peralatan seperti penimbang, pembungkus plastik dan tiub straw yang kemudiannya diserahkan bersama suspek ‘tokan’ itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut

“Manakala 15 penagih dadah yang lain pula dibawa ke Masjid Batu 5, Jalan Jeniang bagi sesi tazkirah sebelum dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, penagih dadah yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Selain kawasan ladang kelapa sawit di kampung itu, operasi turut bertumpu di sebuah rumah di kawasan Kampung Pulau Chengai, Jalan Jeniang yang dikatakan menjadi tempat berkumpulnya penagih dadah syabu di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 8:22 PM