Nor Farhani Che Ad dan Muhaamad Hafis Nawawi
cnews@nstp.com.my


PEMILIHAN PKR Cabang Sungai Petani yang sepatutnya berlangsung hari ini, terpaksa dibatalkan dan ditunda kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Petugas pemilihan PKR, mengumumkan penangguhan itu 10.45 pagi tadi, selepas sistem mengundi tidak dapat digunakan sehingga menyebabkan berlaku kekecohan di luar dewan mengundi di Dewan Beng Siew, Pekan Lama, di sini.

“Bagi mengelakkan ahli terpaksa tunggu lebih lama, kami menetapkan untuk menangguhkan pemilihan kali ini,” katanya.

Ketika ini, ahli PKR masih lagi belum beredar dari kawasan luar dewan dan menunjukkan tidak berpuas hati dengan sistem ‘online’ yang pertama kali digunakan itu.

Sebelum itu, pengundi terpaksa menunggu dalam keadaan berasak sehingga 10.40 tadi walaupun masa mengundi sepatutnya berlangsung pada 9 pagi.

Usaha mendapatkan reaksi Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang turut berada di dewan sedang dilakukan.

Sementara itu di Cabang Alor Setar, pemilihan masih tidak dapat dijalankan berikutan sistem pengundian (e-undi) yang masih tergendala sehingga 11 pagi ini.

Pemilihan parti kali ini yang mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya dilaksanakan menggunakan sistem e-undi sepatutnya bermula 10 pagi tadi, namun masih tidak dapat dijalankan apabila pelayan sistem terbabit tergendala.

Seramai 2,000 calon bertanding merebut jawatan ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang, anggota jawatankuasa serta kepimpinan wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri hari ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Zamri Yusof berkata, pemilihan kali ini juga menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan Ketua Cabang di Sungai Petani dan Padang Serai.

"Bagaimanapun bagi jawatan Ketua AMK negeri kebanyakan mereka menang tanpa bertanding kerana anak muda bawah 35 tahun masih kurang dalam PKR di negeri ini.

"Saya juga meminta anggota PKR Kedah keluar mengundi untuk memilih kepimpinan parti yang mereka rasa layak menerajui parti itu," katanya kepada pemberita ketika ditemu di pusat pengundian Cabang Alor Setar hari ini.

Zamri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri berkata, proses pengundian ini akan tamat pada 5 petang ini.

Bagi Cabang Alor Setar seramai 1,900 layak mengundi hari ini.

Zamri turut bertanding bagi merebut jawatan Ketua Cabang Alor Setar serta Majlis Pimpinan Pusat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 12:29 PM
Sebahagian ahli PKR keluar mengundi bagi Pemilihan PKR. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal