GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


SUAMI isteri warga Thailand ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) selepas anggotanya menemui sepucuk pistol dan empat peluru di dalam treler yang dinaiki mereka ketika pemeriksaan berdekatan kawasan sempadan negara, semalam.

Dalam sekatan pada 12.05 tengah hari itu, pasangan terbabit yang menaiki treler yang membawa muatan karton susu, dalam perjalanan dari arah Dannok, Thailand masuk ke negara ini sebelum ditahan dalam sekatan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol disembunyi di dalam lubang tongkat kenderaan berat itu serta sebutir peluru dalam laras pistol berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui tiga lagi peluru hidup di dalam dompet pemandu lori berkenaan.

“Pada mulanya dia cuba melompat keluar dari lori, namun gagal berbuat demikian dan dapat ditahan anggota AKSEM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang dipercayai isteri pemandu lori yang bekerja sebagai pekerja am di syarikat sama.

Beliau berkata, lori treler itu kemudian dirampas manakala dua suspek berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

“Berikutan itu anggota Unit Anjing Pengesan (K-9 ) dipanggil untuk pemeriksaan lanjut, namun tiada barangan lain ditemui dalam lori kontena berkenaan.

“Hasil siasatan juga mendapati, suami isteri itu dikatakan datang dari Charatburi, Thailand semalam (kelmarin) dan tiba di Dannok pada waktu malam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 7 (1) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 12:16 PM