Suzianah Jiffar
suzianah@nstp.com.my


PASUKAN keselamatan masih giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika ada lagi saki baki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) yang masih bebas.

Ia susulan kejayaan pasukan keselamatan menembak mati dua tali barut kumpulan penculik dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak berhampiran Pulau Boheyan menerusi Ops Gasak, kelmarin.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, susulan dan risikan giat dijalankan bagi mendapatkan lebih banyak maklumat, seterusnya mengenal pasti jika ada lagi suspek lain yang masih bebas.

“Kita kini giat mendapatkan maklumat dan siasatan lanjut susulan insiden di Kunak,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam kelmarin, dua suspek berusia 50-an menaiki sebuah bot pam melarikan diri dari pemeriksaan pasukan keselamatan menerusi Operasi Gasak di penempatan atas air di Kampung Kunak Tiga, Kunak.

Sepasukan polis diketuai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Ketenteraman Awam Polis Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir kemudian mengejar bot terbabit sambil memberi amaran supaya berhenti, namun suspek melepaskan beberapa das tembakan.

Susulan itu, polis terpaksa melepas tembakan balas untuk mempertahankan diri dan sebaik bot terbabit dipintas, tembakan dilepaskan ke arah suspek sebelum kedua-duanya mati di tempat kejadian akibat kecederaan di badan.

Kedua-dua suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri disyaki tali barut kumpulan KFR yang membuat tinjauan pergerakan nelayan sebelum maklumat disalurkan kepada penculik.

Berita berkaitan

'Dua penculik temui ajal'

Berita berkaitan

[UPDATE] Dua suspek tali barut kumpulan KFR [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 12:01 PM