PASUKAN bomba menemui mayat rentung dalam kebakaran rumah di Jalan Hup Seng di Kampung Kituwo, Kota Marudu. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


WANITA warga emas ditemui rentung selepas rumah jenis tidak kekal didiaminya di Jalan Hup Seng di Kampung Kituwo, Pitas, terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, mayat Intang Kapung, 74, ditemui selepas api dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, sebaik menerima panggilan pada 9.31 malam, enam anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, jentera tidak dapat melalui laluan ke lokasi berikutan jalan licin serta curam dan terpaksa berhenti sejauh tiga kilometer dari rumah mangsa sebelum meneruskan perjalanan menggunakan pacuan empat roda.

“Pasukan bomba kemudian mendapati rumah berkenaan musnah 100 peratus dan melakukan proses pemadaman sebelum menemui mayat rentung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang juga menghidap angin ahmar tinggal seorang diri sementara ahli keluarga lain belum pulang dari menghadiri majlis di kampung berhampiran.

“Pasukan bomba seterusnya menyerahkan mayat kepada pihak polis dan menamatkan operasi pada 12.10 tengah malam. Punca kebakaran serta anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah dengan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Mayat dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 11:40 AM