Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


KULAI: Sengaja cari maut. Itu nasib menimpa dua penjenayah yang mati ditembak polis selepas suspek enggan menyerah diri dan melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah kereta dinaiki anggota polis.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi semalam, suspek lelaki yang menaiki kereta Proton Waja dikesan polis di Taman Manis di sini, sebelum suspek memecut lari hingga ke Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke FELDA Sayong di sini.

Dalam jarak dua kilometer itu, beberapa das tembakan dilepaskan suspek dari dalam kereta berkenaan, selain turut menggesel dan cuba merempuh kereta dinaiki polis yang mengejar mereka.

Bagi mempertahankan diri, anggota polis turut melepaskan tembakan ke arah suspek, sebelum kereta suspek terbabas akibat berlanggar kenderaan dinaiki polis.

Kedua-dua suspek warga asing kemudian ditemui maut dalam kereta mereka.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kenderaan dinaiki suspek itu dikesan dalam Operasi Rantau cegah jenayah yang dijalankan D9, Bukit Aman dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor.

Katanya, sebaik dikesan dan ditahan polis, kenderaan suspek terus merempuh kereta dinaiki polis dan memecut laju sejauh dua kilometer.

“Suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah kenderaan dinaiki anggota polis dan polis terpaksa membalas untuk mempertahankan diri.

“Kereta dinaiki mereka bagaimanapun terbabas dan dua penjenayah warga asing itu ditemui mati ditembak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.

Turut berada di lokasi kejadian, Ketua JSJ Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow.

Menurut Mohd Kamarudin, siasatan mendapati kedua-dua suspek itu dipercayai terbabit dalam kes samun sekitar Johor terutama di Johor Bahru, Pontian, Kulai dan kawasan sekitar yang aktif sejak enam bulan lalu.

“Di Johor, tahun ini saja, 50 kes samun direkodkan membabitkan warga asing dan dengan tumpasnya dua suspek ini, kita percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun termasuk terbaharu yang berlaku di Pontian, semalam.

“Kami akan menjalankan siasatan lanjut terhadap aktiviti kedua-dua suspek yang berusia 30-an ini dan mengesan suspek lain atau kes lain yang membabitkan mereka,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya mendapati kenderaan digunakan suspek adalah kenderaan curi yang dilaporkan di Taman Pelangi, Johor Bahru dan pihaknya turut menjumpai sepucuk pistol Revolver, parang, topeng ski dan sarung tangan.

Katanya, tiada anggota polis yang cedera dalam kejadian itu, namun kenderaan dinaiki polis terdapat kesan tembakan dan mengalami kerosakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan kedua-dua mayat suspek dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 6:00 AM