GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my

TIGA kakitangan Lembaga Air Perak (LAP) yang tersesat di kawasan bukit di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, dekat Manjung, ditemui selamat malam tadi.

Mereka ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di satu kawasan pada ketinggian kira-kira 140 meter dari aras laut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Amir Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.36 malam, sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, tiga lelaki berusia antara 29 hingga 38 tahun itu datang ke bukit berkenaan untuk aktiviti riadah.

“Tiga lelaki berkenaan datang ke kawasan itu untuk bersenam pada jam 6 petang tadi sebelum mereka dilaporkan tersesat.

“Bomba mengambil masa satu jam 30 minit sebelum menemui tiga lelaki itu dalam keadaan selamat.

“Ketika ditemui seorang daripada mereka agak lemah, namun masih mampu berjalan," katanya ketika dihubungi NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 12:39 AM