Caption<ANTARA wanita warga asing yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam akvitivi pelacuran, semalam. FOTO Ihsan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia membongkar aktiviti pelacuran warga asing di tiga buah hotel di sekitar Dataran Mentari, Petaling Jaya dan Jalan Puchong, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, menerusi serbuan Ops Mega 3.0 itu, pihaknya menahan 18 wanita dipercayai menawarkan khidmat aktiviti tidak bermoral berkenaan.

Katanya, seramai 12 daripada 18 individu terbabit adalah warga Thailand, empat dari Indonesia dan bakinya warga Laos.

“Kita serbu hotel pertama di ibu negara jam 9.10 malam (semalam), dan tahan empat pelacur warga Indonesia, tiga dari Thailand dan seorang warga Laos.

“Aktiviti pelacuran di hotel kedua dan ketiga di Petaling Jaya masing-masing ditumpaskan bermula jam 10.35 malam dan 11.40 malam.

“Susulan itu, kita tahan sembilan perempuan Thailand dan seorang perempuan Laos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Mustafar berkata, pihaknya membuat pemeriksaan terhadap 10 lelaki dipercayai penjaga premis di tiga hotel berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kita percaya aktiviti pelacuran yang dibongkar itu ada rangkaian dengan Ops Imigresen, minggu lalu membabitkan isu sama,” katanya.

Pada 14 September lalu, NSTP melaporkan kegiatan tidak bermoral yang bernaung di bawah satu sindiket pelacuran antarabangsa berjaya ditumpaskan imigresen yang membuat serbuan ke atas hotel di Petaling Jaya.

Pelanggan di hotel itu disyaratkan membayar antara RM300 hingga RM450 bagi layanan seks selama 45 minit.

Ia adalah khidmat ditawarkan beberapa pelacur dari Uzbekistan, Kyrgyzstan, Mongolia, China dan Vietnam yang menjadikan hotel itu sebagai lokasi menjalankan kegiatan tidak bermoral kepada pelanggan termasuk golongan elit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:53 PM