Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


AHLI PAS sepatutnya mengikut langkah dua bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustafa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang meninggalkan parti itu demi mengembalikan keyakinan rakyat ke atas mereka.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, selaku rakan pembangkang, ahli PAS wajar mengambil langkah sama susulan peletakan jawatan dua pemimpin kanan UMNO berkenaan.

“Kedua-dua pemimpin kanan UMNO ini secara jujur dan ikhlas melihat bahawa UMNO sudah tidak relevan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Paling malang adalah rakan dari PAS yang sebelum ini menjalin ‘kerjasama’ dengan UMNO dalam keadaan UMNO semakin lemah dan pimpinan PAS sendiri berkata bahawa mereka tidak mungkin akan mendukung ‘biawak hidup’ bersama dalam parti itu.

“Saya tidak tahu ‘biawak’ apa yang mereka hendak tanggung sekarang dan saya sedih melihat rakan dalam PAS terpaksa berhadapan situasi ini, sudah tiba masa mereka keluar parti dan bersama Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Luar Bandar MARA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, hari ini.

Semalam, Mustafa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengumumkan keluar UMNO, manakala Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, turut mengambil langkah sama hari ini.

Mahfuz berkata, penarikan diri kedua-dua tokoh politik itu juga adalah satu perkembangan sihat dalam demokrasi berpolitik di negara ini.

“Saya fikir kedua-dua mereka tiada kepentingan dalam politik UMNO dan jika mereka dilabel berkehendakkan jawatan dalam Kabinet juga tidak mungkin kerana semua jawatan sudah diisi.

“Saya merasakan bahawa Tok Pa (Mustafa) dan Anifah kini melihat UMNO seharusnya menjadi ‘jalan tengah’ dalam memperjuangkan rakyat dengan lebih terbuka dan bukannya menjadi ekstrim terhadap sesuatu bangsa dan agama sahaja,” katanya.

ends

From: MHI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 5:13 PM