Shahidan Kassim
Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my

BEKAS Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menolak kemungkinan lebih ramai Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti.

Ahli Parlimen Arau itu ada mendengar khabar angin ada Ahli Parlimen bakal meninggalkan parti itu dan jumlahnya dikatakan seramai 18 orang.

“Saya ada dengar 18 orang, siapa mereka? Itu rahsia. Pemimpin ini dari semua negeri.

“Ini pun khabar angin, walaupun khabar angin dari 18 nama itu dua daripadanya betul iaitu Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dan (Datuk Seri) Anifah Aman,” katanya ketika dihubungi NSTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli mengumumkan keluar UMNO, manakala Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, turut mengambil langkah sama hari ini.

Shahidan turut ditanya sama ada namanya ada tersenarai dalam kalangan pemimpin UMNO yang akan keluar parti, beliau hanya memberi jawapan ‘tidak tahu’

“Saya tidak perasan pula nama saya ada atau tidak pada senarai khabar angin itu.

“Cuma setakat ini tiada pula yang mengajak saya keluar dan saya pula tidak pernah mengajak sesiapa dalam UMNO untuk keluar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada keperluan untuk beliau keluar dari UMNO dan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang keluar dari parti berkenaan.

“Hendak keluar tu keluar sahaja, tidak perlu komen pasal UMNO.

“Lebih baik lepas keluar berhenti sekali jadi Ahli Parlimen kerana rakyat memilih UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada waktu anda menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 3:03 PM