LAPORAN portal berita Harian Metro, Isnin lalu mengenai tiga lelaki yang mencari asam kelubi dipercayai dipatuk ular belalang menyebabkan dua daripada mereka meninggal dunia di dalam hutan di Kampung Bendanga, Mukah.
Manorza Saraev
cnews@nstp.com.my


TIADA sebarang tindakan penutupan kawasan hutan di Kampung Bendanga, Mukah, selepas kejadian meragut nyawa dua pencari asam kelubi yang dipercayai dipatuk ular, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, orang ramai khususnya penduduk di kawasan terbabit perlu lebih berwaspada ketika memasuki lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dan seorang lagi rakan mereka yang terselamat dipatuk ular berbisa ketika mencari hasil hutan berkenaan.

“Justeru, kes lebih bersifat kemalangan dan lokasi kejadian tidak boleh ditutup, malah tiada keperluan untuk kami mengambil tindakan itu kerana ia bukan lokasi jenayah,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, tiga pencari asam kelubi dilaporkan hilang selepas dipercayai tersesat dalam kawasan hutan berkenaan sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Pasukan penyelamat kemudiannya menemui dua mangsa mati bergelimpangan di bawah sebatang pokok dengan terdapat kesan patukan dan gigitan ular pada tubuh mereka.

Seorang lagi rakan mereka ditemui dalam keadaan terlalu lemah.

Difahamkan, semua mangsa dipatuk ular belalang iaitu antara spesis ular paling berbisa di Sarawak, selain bersifat agresif jika merasa terancam dan bagi melindungi sarang mereka.

Mengulas lanjut, Jimmy berkata, berdasarkan kesan kecederaan dialami semua mangsa, beliau tidak menolak kemungkinan mereka diserang lebih daripada seekor ular berkenaan.

“Besar kemungkinan mereka ‘termasuk’ ke dalam kawasan sarang ular berkenaan ketika mencari hasil hutan berkenaan.

“Jadi, kami minta orang ramai lebih berhati-hati jika memasuki kawasan hutan itu bagi mengelak insiden sama berulang.

“Kami masih menunggu mangsa selamat itu beransur pulih untuk merekodkan kenyataannya bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai khususnya pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu, termasuk mengaitkannya dengan unsur jenayah.

Sementara itu, dua mayat mangsa selesai menjalani bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sibu, semalam dan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk proses pengebumian.

'Pelik Allahyarham tak suruh kemas beg'

'Bahana patukan ular belalang'

'Tragedi asam kelubi'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:13 AM