SYED Saddiq (tengah) bersama hadirin pada Debat Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar Adalah Satu Kesilapan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, semalam. FOTO Saifullizan Tamadi
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Veena Babulal
cnews@nstp.com.my


KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan pengumuman Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO sebagai permulaan kepada kehancuran parti itu.

Menurutnya, beliau amat terkejut dengan berita itu dan menegaskan keputusan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa adalah kehilangan besar kepada UMNO.

Katanya, ini kerana bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu antara pemimpin yang amat dikagumi ketokohannya daripada dulu hingga kini.

“(Bila) beliau (Tok Pa) keluar, adalah tanda pengakhiran bagi UMNO. Orang macam beliau kehilangan besar kepada UMNO. Saya terkejut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program debat bertajuk Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar Adalah Satu Kesilapan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, semalam.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Rektor UIAM Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang merasmikan majlis.

Menurutnya, beliau menghormati Mustapa bukan saja sebagai pemimpin berpengalaman, malah atas sumbangannya kepada negara.

“Tok Pa daripada dulu seorang pemimpin UMNO yang saya hormati. Bukan saja dihormati pemimpin dan ahli UMNO, tapi juga daripada sebelah kita (kerajaan).

“Daripada dulu, sampai sekarang saya jadi menteri, saya hormat bila lihat beliau di Parlimen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 12:51 AM