ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang cuba menyeludup keluar 340 bungkus minyak masak ke negara jiran di Kampung Sungai Bilis, Tanjung Labian, Lahad Datu. FOTO Ihsan ATM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


CUBAAN kali pertama lelaki warga asing menyeludup keluar 340 bungkus minyak masak ke negara jiran gagal selepas dicekup Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Sungai Bilis, Tanjung Labian, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, lelaki berusia 46 itu ditahan bersama bot yang sarat dengan muatan bahan bersubsidi itu.

Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Salmi Istikh Ahmad berkata, tangkapan dan rampasan dibuat ketika sepasukan anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) sedang melakukan beroperasi di kawasan itu.

"Ketika operasi, anggota telah menahan sebuah bot yang dilihat dalam keadaan mencurigakan selain dilihat sarat dengan muatan minyak masak.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 340 bungkus bernilai RM2,080," katanya dalam kenyataan media, di Lahad Datu, hari ini.

Tambah Salmi lagi, susulan penahanan suspek mendapati minyak masak itu cuba diseludup ke Filipina.

"Menurut suspek, itu adalah kali pertama dia cuba menyeludup minyak ke Pulau Sitangkai, Filipina," katanya.

Sehubungan itu, Salmi berkata, suspek bersama barang rampasan diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 9:10 AM