MAYAT wanita mati dikelar anak saudara dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat.
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my

Semporna: Seorang wanita mati dikelar anak lelaki sepupunya dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Kampung Sinallang Look, jam 7.30 pagi semalam.

Bunga Hailah Samaullah, 59, ditemui mati di hadapan pintu di ruang tamu rumah dengan kesan kelar di leher dan luka di tangan kiri.

Turut cedera suami mangsa, Abdol Lawas Mosin, 60, serta seorang wanita berumur 26 tahun dikenali sebagai Siti Madinah Moden yang juga sepupu suspek.

Difahamkan, suspek disyaki menghidap masalah mental dan pernah dirawat di Hospital Mesra di Bukit Padang, Kota Kinabalu, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Anak Umbuas berkata, suspek mengelar leher mangsa menggunakan parang sebelum turun daripada rumah dan menetak dua lagi mangsa lantas melarikan diri.

“Suspek ditangkap di kawasan bakau 200 meter dari lokasi kejadian. Suspek yang berumur 20 tahun cedera akibat bergelut dengan mangsa dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera juga dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan,” katanya dihubungi.

Menurut Peter, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 3:30 AM