HM Digital

Bagan Serai: Lelaki meninggal dunia dipercayai lemas selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke parit di Jalan Batu 8, berhampiran Rumah Pam Kerian, Sungai Bogak di sini, awal pagi semalam.

Muhammad Amirul Hasnor Hassan, 25, yang memandu Honda Civic terperangkap dalam kereta dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan selepas dikeluarkan daripada kenderaan itu oleh anggota bomba.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai Nasrizal Safila Abu Samad berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan
ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.17 pagi.

“Kami dapati kereta itu dalam keadaan terbalik dengan hanya dua tayar belakang kelihatan manakala selebihnya tenggelam.

“Kami dimaklumkan mangsa terperangkap dalam kereta.

“Sejurus kereta dinaikkan, kami mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bahagian tempat duduk pemandu. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menambah operasi tamat jam 3.18 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 3:24 AM