HO menunjukkan kasut terpilih sebagai pemenang dalam pertandingan Melukis Kasut Pallas 'Sayangi Malaysiaku' sempena Hari Kebangsaan ke-61 di Southern Rubber Works Sdn Bhd, Lebuh Pantai, Georgetown, haria ini. FOTO Ramdzan Masiam.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


PENGELUAR kasut jenama Pallas, Southern Rubber Works Sdn Bhd menerima 129 penyertaan pelajar di negara ini bagi pertandingan melukis pada kasut ‘Sayangi Malaysiaku’.

Pertandingan diadakan menerusi laman sosial Facebook itu membabit 14 sekolah menengah dari lima negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang juga Pengarah syarikat terbabit, Ho Kok Loon berkata pertandingan berkenaan diadakan sempena Hari Kebangsaan ke-61.

Katanya, Pallas menghantar sepasang kasut kepada setiap peserta yang membuat permohonan dan memberi tempoh selama tujuh hari bagi menyiapkan lukisan pada kasut terbabit.

“Hasil diterima amat memberangsangkan kerana tidak menyangka semua peserta mempunyai bakat dan kreatif berbanding dengan usia mereka yang masih muda.

“Ini kali pertama pertandingan diadakan sempena Hari Kebangsaan dan melihatkan sambutannya, kami bercadang mahu menganjurkan lagi pada sambutan lain akan datang,” katanya kepada media di Georgetown, hari ini.

Ho ditemui pada majlis pemilihan pemenang pertandingan itu bersama lima juri jemputan dan pemenang dipilih berdasarkan pilihan terbanyak di akaun Facebook Pallas Malaysia.

Beliau berkata, pemarkahan diberi berdasarkan kreativiti, rekaan dan karya mengikut tema serta menggunakan bahan dan medium bebas.

“Lima pemenang terpilih menerima hadiah wang RM350 setiap seorang manakala lima lagi pemenang saguhati menerima hadiah wang RM100 seorang.

“Semua peserta menerima sijil penyertaan dan senarai pemenang serta kasut dihasilkan boleh dilihat di akaun Facebook Pallas Malaysia,” katanya.

Lima pemenang hadiah utama terbabit ialah Michelle Wong Hui Hiu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu, Sarawak; Angel Loh (SMK Sibu), Beng Bao Fang (SMJK Heng Ee, Pulau Pinang), Goh Jia Yin (SMJK Heng Ee) dan Ng Jia Ying (Sekolah Tinggi Foon Yew, Johor).

Manakala lima pemenang saguhati ialah Goh Jia Yu (SMK Heng Ee), Augustine Liam Anak Lien (SMK Song, Sibu), Anne Lau Yi Jing (SMK Methodist Sibu), Ching Jun Kit (SMK Sung Siew, Sabah) dan Hani Hazwani Perlis (SMK Methodist Sibu).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:38 PM