ANTARA individu yang ditahan polis selepas disyaki menyertai kumpulan pengganas dalam beberapa serbuan antara 11 Ogos hingga 31 Ogos lalu. FOTO Ihsan PDRM
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 10 individu disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang sejak 11 Ogos hingga 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua mereka terdiri daripada dua sel berasingan yang merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di Timur Tengah dan merancang melancarkan serangan di tempat maksiat di Melaka serta Pulau Pinang.

“Tangkapan pertama membabitkan sel yang terdiri daripada lima suspek dikenali sebagai kumpulan Asoib di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu berusia antara 39 hingga 53 tahun.

“Mereka merancang untuk bergabung dengan satu kumpulan pengganas dari sebuah negara di Timur Tengah bagi melancarkan serangan di sebuah negara yang bersempadan dengan negara berkenaan. Sel ini akan dibekalkan dengan pelbagai senjata sejurus tiba di sana," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, salah seorang anggota Asoib sudah berlepas ke negara berkenaan bagi membuat persiapan dan menyelaras operasi serangan.

“Kumpulan ini memberi tafsiran salah terhadap hadis, yang mana mereka mempercayai bahawa Imam Mahdi akan muncul di Mekah pada tahun ini. “Kumpulan ini juga dipercayai akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi untuk menyerang negara sekular dan menentang dajal,” katanya.

Menurutnya, satu lagi sel terdiri daripada lima anggota ditahan pada 25 Ogos dan 31 Ogos lalu di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang dikenali sebagai kumpulan Ar Rayah Member berusia antara 18 hingga 50 tahun.

“Suspek utama sel ini merancang untuk melancarkan serangan bom asap di tempat maksiat di sekitar Melaka bagi memnimbulkan suasana panik dan gempar kepada pengunjung dengan harapan akan mendatangkan kecederaan. Lima bom asap yang siap diproses dirampas daripada kumpulan ini.

“Susulan tangkapan suspek utama pada 25 Ogos di Melaka, pihak polis menahan empat lagi anggota sel sama pada 31 Ogos di Kelantan dan Pulau Pinang.

“Tangkapan terhadap salah seorang lelaki warga asing berusia 50 tahun mendapati dia mempromosikan perjuangan kumpulan mereka melalui aplikasi Whatsapp,” katanya.

Menurutnya, suspek berperanan mempengaruhi anggota kumpulan untuk menyumbang dana bagi membeli senjata api dan peluru menerusi kumpulan Whatsapp Ar Rayah Member.

Katanya, semua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA- kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas) 2012 (Akta 747).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:37 PM