WAN AZIZAH. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas dia dilantik menjadi Perdana Menteri.

Ketua Umum PKR itu berkata sekarang belum masanya Dr Wan Azizah meletakkan jawatannya dalam kabinet.

“Kenapa Wan Azizah tidak letak jawatan? Kalau Dr Wan Azizah letak jawatan, nanti hilanglah jawatan Timbalan Perdana Menteri dari PKR.

“(Dan) saya juga sudah beritahu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdana Menteri), kalau saya menang (kerusi Parlimen Port Dickson), saya tidak mahu masuk kerajaan sekarang, saya nak bagi laluan kepada Dr Mahathir untuk menggalas tanggungjawab dia sehingga giliran saya.

“Jadi sabarlah, saya dilantik, Dr Wan Azizah akan letak (jawatan TPM). Bila? Bila giliran saya jadi PM. Tak payah orang sibuk dari awal, suruh dia (Dr Wan Azizah) letak (jawatan). Ini yang berlaku dalam negara tapi sabarlah. Orang bangkitkan (tentang perkara ini), saya jelaskan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap dalam program Bicara Maal Hijrah bertajuk “Hijrah ke Arah Malaysia Baharu” di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, hari ini.

Anwar, 71, yang bakal memegang jawatan Presiden PKR secara rasmi November ini, diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson setelah penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, Rabu lalu.

Sementara itu, Anwar turut mengakui letih untuk menjawab soalan mengenai perhubungannya dengan Dr Mahathir.

“Ya , satu dunia tahu saya musuh dia. Satu dunia tahu memang kita geng kuat (ketika dalam kerajaan dahulu). Bila bergaduh paling sengit, perang habis-habisan, sekarang kita berdamai. Patut semua sokong.

“Saya dan Dr Mahathir berdamai supaya apa yang berlaku dulu akan dihentikan. Kita rasakan dengan gandingan kekuatan baru ini, kita boleh tumbangkan kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:07 PM