LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai kisah dua beranak yang tinggal dalam pondok buruk dan usang di dalam kebun getah di Gual Mesa, Rantau Panjang.
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my


“PAK cik cakap betul...” kata Sulaiman Yassin, 53, selepas kisah kesusahan hidupnya yang dipaparkan akhbar NSTP dipersoalkan segelintir pihak tertentu.

Sulaiman berkata, dia tidak menipu dan menceritakan perkara sebenar dilalui oleh keluarganya sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, dia mengakui pernah ke Gua Musang sejak sebulan lalu untuk menemani ibunya, Eshah Mat, 77, menanam buah-buahan di ladang.

“Pak cik memang ke Gua Musang untuk teman ibu, tetapi beberapa hari sahaja dan pulang ke pondok selepas semua urusan ibu selesai kerana ini adalah tempat tinggal kami. Tanah (ladang) itu pun milik kerajaan negeri yang kami tumpang.

“Pak cik terkilan ada segelintir yang mempersoalkan keadaan kehidupan kononnya untuk meraih simpati. Kalau tidak dapat bantu jangan hina kami, doakan lebih baik.

“Bagaimanapun, pak cik nak ambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membantu dan mendoakan kami sekeluarga, hanya Allah SWT sahaja mampu membalas jasa mereka,” katanya ketika dihubungi NSTP di Kota Bharu, hari ini.

Sulaiman berkata, dia mempunyai perancangan untuk memiliki dan membina rumah lebih selesa di atas tanah ladang itu.

“Bagaimanapun, disebabkan faktor kekangan kewangan, niat itu terpaksa ditangguhkan sementara dan berharap ada pihak sudi membantu,” katanya.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan, pondok kecil dan usang tanpa sebarang kemudahan asas di ladang getah Gual Mesa, Rantau Panjang menjadi tempat berteduh dua beranak sejak tujuh tahun lalu.

Pondok usang milik saudara mereka yang dihuni dua beranak itu tidak mempunyai kemudahan bekalan air, elektrik serta tandas dan pada waktu malam hanya lampu suluh digunakan untuk meneranginya.

Meskipun pondok yang berdindingkan papan reput dan atap zink terbuang sudah dilihat tidak selamat, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain selepas berpindah keluar dari rumah pusaka keluarga di Wakaf Baharu, Tumpat.

Selepas tular di media sosial sejak petang semalam, terdapat segelintir pihak yang mempersoalkan kesahihan perkara itu.

Sementara itu, Penghulu Mukim Gual Mesa, Wan Muhammad Zain Wan Jaafar berkata, Sulaiman ada menyuarakan mahu menjadikan pondok di Gual Mesa ini sebagai penempatan tetapnya.

“Dua beranak itu memang berulang-alik dari Gua Musang, Tumpat dan Gual Mesa, Rantau Panjang. Namun saya tengok dia memang kerap tinggal di pondok ini kerana difahamkan rumah pusaka keluarga di Tumpat sudah uzur dan tidak lagi selamat untuk didiami.

“Kami akan berusaha untuk dapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berharap ada pihak lain tampil membantu meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Berita berkaitan

'Pondok usang 'mahligai' dua beranak'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 9:02 PM