SUSPEK yang ditahan polis. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my

SEKUMPULAN lelaki sanggup menggunakan kedai kopi di Kadok di Kota Bharu sebagai 'port' untuk bertaruh judi, dengan mengikuti pertandingan sabung ayam disiarkan secara langsung di stesen televisyen Thailand.

Bagaimanapun, helah mereka terbongkar selepas premis itu diserbu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, pada jam 4.45 petang.

Hasil serbuan, polis menahan 30 lelaki berusia antara 25 hingga 64 tahun termasuk pemilik kedai kopi dan merampas wang tunai berjumlah RM10,320

dipercayai untuk pertaruhan.

Difahamkan, pertaruhan dibuat dalam kalangan mereka, bermula RM5.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebelum serbuan, pihaknya membuat intipan selama 10 minit di kedai kopi terbabit.

Katanya, ketika itu semua lelaki terbabit sedang leka menyaksikan pertandingan sabung ayam di Thailand yang disiarkan secara langsung di televisyen.

"Sebaik serbuan dilakukan, pemilik kedai berusia 52 tahun gagal menunjukkan lesen hiburan yang sah mengikut Seksyen 6 Enakmen Kawalan Hiburan Tempatan Kelantan 1998.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebuah telefon pintar milik seorang suspek berusia 43 tahun yang mengandungi aplikasi judi sabung ayam yang dijadikan rujukan untuk melihat masa dan jenis pertaruhan siaran televisyen Thailand itu," katanya ketika dihubungi NSTP.

Menurutnya, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

"Polis turut merampas televisyen bersaiz 42 inci, piring televisyen satelit dan beberapa peralatan lain mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

"Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 8:04 PM