LELAKI disyaki menggodam FB individu lain dan membuat ugutan bunuh terhadap Ketua Menteri Sarawak ditahan di Kota Samarahan, petang semalam. FOTO ihsan polis.
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


GARA-GARA cemburu selepas seorang individu berterusan berhubung dengan teman wanitanya, seorang lelaki menggodam akaun laman sosial Facebook (FB) individu berkenaan dan menyiarkan ancaman bunuh terhadap Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Selepas perbuatannya disedari dan laporan polis dibuat terhadapnya di Miri pada 7 September lalu, lelaki terbabit terus berlagak samseng apabila mencabar polis untuk menangkapnya.

Bagaimanapun, suspek berusia 32 yang bekerja sebagai pembantu gimnasium itu dikesan dan ditahan di Kota Samarahan, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dennis Leong berkata, pada mulanya, pihaknya mendapati ancaman itu disiarkan di dalam akaun FB yang pemiliknya tinggal di Semenanjung Malaysia.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut oleh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berjaya mengesan individu lain yang tinggal di Sarawak menggunakan akaun FB orang lain untuk menyiarkan ancaman itu.

“Individu terbabit turut mencabar polis untuk menangkapnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati cemburu dipercayai motif utama suspek menggunakan akaun FB milik individu terbabit untuk menyiarkan ugutan itu.

“Suspek berbuat demikian untuk menimbulkan masalah pemilik akaun FB itu dengan pihak berkuasa, kerana dia dikatakan terus berhubungan dengan teman wanitanya.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 6:31 PM