Roslan memakaikan lencana khas 'Viper' kepada anggota pasukan elit APM pada Majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Khas APM Negeri Sembilan dan Penyerahan Watikah Pelantikan Yang Di-Pertuan Agong Kepada Pegawai Skim KP APM Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menubuhkan pasukan khas bagi menghadapi situasi bencana dan ketenteraman awam yang semakin kompleks.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Roslan Wahab berkata, pasukan dikenali sebagai Volatile Incident Phase and Emergency Response Team (VIPER) dianggotai oleh 27 sukarela yang berpengalaman menangani bencana.

Menurutnya, pemilihan anggota dibuat berdasarkan tahap fizikal dan mental menerusi beberapa ujian yang dilakukan termasuk mengambil kira Indeks Jisim Tubuh (BMI).

“APM sudah mempunyai pasukan khas di kalangan pegawai tetap, namun jumlah anggotanya terhad selain ditempatkan di lokasi agak berjauhan antara satu sama lain. Ia menyukarkan mereka untuk berkumpul dan memberi tindak balas segera apabila berlaku bencana.

“Oleh itu, penubuhan VIPER ini adalah amat membantu melengkapi pasukan sedia ada untuk bertindak di mana jua lokasi insiden. Pasukan ini akan dapat meningkatkan lagi tahap keupayaan perkhidmatan APM sama ada membabitkan kes kecil mahupun kes yang memerlukan kepakaran tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penubuhan pasukan khas dan penyerahan watikah pelantikan kepada pegawai skim KP di APM Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Turut hadir Pengarah APM Negeri Sembilan, Faslisyah Muslim.

Roslan berkata, APM Negeri Sembilan menjadi perintis penubuhan pasukan itu dan berharap setiap negeri akan menubuhkan pasukan sama dengan mensasarkan satu pasukan bagi setiap negeri.

Beliau berkata, ia langkah awal bagi menghadapi bencana yang kerap melanda negara sejak kebelakangan ini, seperti kejadian ribut yang berlaku di Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 6:11 PM