Nur Lela Zulkipli
Nurlela@nstp.com.my


PARTI Amanah Negara (AMANAH) mendakwa pihak yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamalkan nepotisme adalah mereka yang semata-mata benci kepada Ketua Umum PKR itu.

Setiausaha Agong AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, rakyat sudah memilih Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah sebagai pemimpin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan bukannya lantikan daripada mana-mana pihak berkepentingan.

“Jika Anwar akan mengamalkan nepotisme, sudah pasti Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak akan memenangi kerusi masing-masing pada PRU-14 lalu.

“Siapa anda yang ingin menghakimi keputusan rakyat? Tidak sepatutnya timbul isu nepotisme ini, malah saya percaya ia dibangkitkan oleh individu yang tidak menyukai Anwar,” katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Anuar berkata, pembabitan ahli keluarga dalam sistem politik negara sudah berlaku sejak dulu lagi, namun tidak pernah dipersoalkan.

“Ini adalah negara demokrasi. Ada keluarga dalam Malaysia ini terbabit dalam politik seperti ayah dan anak. Perkara ini ada di mana-mana, bukan Anwar saja.

“Ada tu menantu pun terbabit. Kalau rakyat rasa dia ada kebolehan, rakyat akan pilih, jadi tiada isu nepotisme,” katanya.

Hari ini, aktivis Datuk S Ambiga memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya berhati-hati dengan amalan nepotisme melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang diadakan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Sementara itu, Mohd Anuar mengalu-alukan sokongan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang ingin berkempen untuk Anwar pada PRK Port Dickson.

“Dalam negara demokrasi ini, kita bebas berikan apa jua pendapat. Jangan ada sesiapa yang dianiaya kerana kenyataannya.

“Nazri berhak buat kenyataan sebab Anwar adalah senior beliau di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Jadi, pandangan itu hak dia,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Teluk Kemang dan ia adalah kubu kuat MIC.

Ia kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari PKR meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 5:38 PM