NASIR Abbas, 63, akan membawa Jalur Gemilang sepanjang Larian Merdeka sejauh 500 km dari Alor Setar ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


PELARI solo Larian Merdeka sejauh 500 kilometer berharap ketibaannya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan disambut sekali lagi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas disambut kali pertama 21 tahun lalu.

Nasir Abbas, 63, atau lebih mesra dipanggil Pak Nasir berkata, dia akan memulakan larian pada Sabtu ini di hadapan Masjid Zahir, Alor Setar, pada 8.30 pagi dan dijangka tiba sebelum detik 12 tengah malam, 31 Ogos ini.

Katanya, dia perlu memulakan larian itu lebih awal berikutan akan singgah dan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos ini di Taiping, Perak bersama keluarga.

"Pada 1997, Tun Dr Mahathir menyambut ketibaan saya di sana, kali ini saya berharap perkara yang sama berlaku, beliau adalah insan yang saya kagumi, tambahan pula beliau anak kelahiran negeri Kedah yang menjadi Perdana Menteri dua kali.

"Biarpun saya semakin berusia, namun saya yakin dapat menamatkan misi Larian Merdeka kali ini berikutan sentiasa melakukan latihan bagi mengekalkan stamina," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Bagaimanapun bekas tentera ini berkata, larian kali ini agak mencabar kerana bakal berdepan dengan cuaca panas serta jerebu yang melanda negara ketika ini.

Katanya dia akan cuba berlari seawal 9 pagi hingga 12 tengahari dan akan bersambung semula pada 3.30 petang sehinggalah sampai ke destinasi seperti yang dirancang.

"Saya akan berlari sejauh 40 km setiap hari sambil memegang Jalur Gemilang dengan harapan orang ramai dapat melihat kesungguhan saya demi menyambut hari merdeka.

"Dalam masa yang sama, saya mahu memberi motivasi kepada semua lapisan masyarakat supaya dapat menanam semangat patriotik dengan mengibarkan bendera," katanya yang mempunyai empat orang anak dan sembilan orang cucu.

Ketika ditanya mengenai petua kekal cergas pada usia terbabit, Pak Nasir berkata, selain sentiasa berlari secara konsisten, dia juga tidak mengamalkan minum ais yang dipercayai akan melemahkan tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 9:35 AM