Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


SEKUMPULAN warga asing yang leka menjual kain di beberapa premis tekstil di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, tidak sempat melarikan diri apabila diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui Ops Mega 3.0, semalam.

Difahamkan, kumpulan warga asing berkenaan mendakwa diri mereka adalah ‘halal’ kerana memiliki pasport dan permit sah.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dilakukan semua warga asing yang ditahan itu berdaftar di premis lain.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, majikan didapati mendapatkan kuota pekerja asing, namun kemudian mengagihkan pekerja asing yang diterima kepada premis lain.

“Mereka (majikan) dapat pekerja (warga asing) dengan kuota tertentu, tetapi hanya sebahagian daripadanya bekerja di tempat didaftarkan manakala selebihnya diagihkan kepada premis lain.

“Sebagai contoh mereka dapat 80 pekerja (warga asing) tetapi hanya tiga sahaja yang bekerja di premis terbabit manakala yang lain diagihkan, ini adalah satu kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di Jalan Masjid India.

Dalam operasi itu, Mustafar berkata, seramai 50 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan di beberapa premis tekstil di jalan berkenaan.

Beliau berkata, operasi itu memfokuskan kawasan menjadi tumpuan di Kuala Lumpur.

“Semua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan Imigiresen untuk proses dokumentasi.

“Kami kini sedang bekerjasama dengan Polis Kuala Lumpur untuk melakukan operasi bersepadu di kawasan berkenaan.

“Saya sudah bertemu dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim bagi membincangkan berhubung perkara ini dan operasi bersepadu secara berterusan ini tidak hanya memfokuskan tangkapan Pati sahaja, malah serbuan seperti premis refleksologi dan pusat pelacuran akan dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 12:36 AM
MUSTAFAR (kanan) memeriksa sebahagian Pati yang ditahan ketika Operasi Mega 3.0 Imigresen di sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Yusni Ariffin.