Shad Saleem
Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@nstp.com.my


TIADA peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menjamin proses lantikan hakim di negara ini adalah bebas daripada politik.

Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, amat mengecewakan kerana tiada garis panduan dalam proses kenaikan pangkat hakim dengan kekananan dan kepintaran tidak diambil kira.

Katanya, dalam proses itu budi bicara Ketua Hakim Negara dan Perdana Menteri adalah yang paling utama.

“Ada hakim yang tidak menulis penghakiman dalam 35 kes tetapi dinaikkan pangkat kepada hakim Mahkamah Rayuan dan kemudian ke Mahkamah Persekutuan.

“Kita juga mengetahui mengenai dua hakim terkenal dalam menegakkan kebebasan kehakiman dalam penghakiman mereka iaitu Hakim Tan Sri Abdul Malek Ahmad dan Datuk Hishamudin Yunus, bagaimanapun tidak mendapat kenaikan.

“Hanya beberapa kali Majlis Raja-Raja dapat menghalang pelantikan dan kenaikan pangkat yang tidak wajar membabitkan hakim yang hanya mengikut telunjuk ,” katanya.

Shad Saleem berkata, beberapa minggu lalu apabila hakim Mahkamah Persekutuan paling kanan yang dihormati di peringkat antarabangsa berikutan penghakiman menentangnya dilantik menjadi Ketua Hakim Negara oleh kerajaan baharu, ada yang pihak yang mempersoalkan.

“Golongan ekstrim agama dan bangsa ini dengan tidak mengendahkan perlembagaan mempersoalkan kewajaran melantik Tan Sri Richard Malanjum sebagai jawatan tertinggi dalam kehakiman,” katanya.

Shad Saleem berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Memorial Raja Aziz Addruse bertajuk Ulang Tahun Ke-30 Krisis Kehakiman 1988: Pengajaran Mengenai Kepentingan Kebebasan Kehakiman dan Berlaku Adil pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2018 hari ini

Raja Aziz adalah bekas presiden Badan Peguam Malaysia sebanyak tiga kali.

Turut hadir, Malanjum dan Presiden Badan Peguam George Varughese.

Shad Saleem berkata, antara kesan positif daripada krisis kehakiman itu ialah terdapat lebih banyak penghakiman yang menegakkan prinsip perundangan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan walaupun pada zaman bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Mohamed Salleh Abas itu sendiri adalah era perkembangan mahkamah bagi isu perlembagaan.

Beliau berkata, berikutan terdapat desakan terhadap badan kehakiman pada waktu itu menyaksikan beberapa kes perlembagaan membabitkan doktrin struktur asas dikaji.

“Kuasa kehakiman mahkamah yang dilindungi oleh pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dilihat sudah dikembalikan... Kuasa semakan mahkamah sivil atas mahkamah Syariah kini ditegaskan.

“Selain itu, keadilan asasi dinaiktaraf daripada peraturan undang-undang lazim kepada sebahagian proses dan layanan saksama mengikut Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam penghakiman yang inovatif, mahkamah menyatakan bahawa perkataan ’kehidupan’ dalam Perkara 5 juga bermaksud rezeki dan ‘kebebasan’ termasuk hak untuk didengar di mahkamah,” katanya.

Mengenang kembali krisis kehakiman itu, Shad Saleem berkata kehakiman negara mengalami siri bencana apabila Salleh yang juga Presiden Mahkamah Agung dan lima lagi hakim mahkamah sama digantung.

Beliau berkata, akhirnya tiga daripada mereka dipecat dan tiga lagi dikembalikan jawatan manakala Pengerusi Tribunal yang mengesyorkan Salleh dipecat dilantik sebagai Presiden Mahkamah Agung baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 11:05 PM