Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


LELAKI yang parah selepas kereta Kia Forte dilarikannya terbabit kemalangan meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 9.40 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lelaki berusia 41 tahun itu maut akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, suspek sebelum itu terbabit dalam kemalangan selepas kereta dipandunya merempuh sebuah gerai dan tiang jejantas berhadapan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada jam 8.11 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di bahu jalan menghala ke Jalan Klang Lama.

“Kereta berwarna putih itu dilaporkan hilang di kawasan parkir Vista Harmony Taman Bukit Cheras pada jam 8.40 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kereta terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Kereta 'terbang' rempuh gerai [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 6:10 PM