GAMBAR hiasan
Rizanizam Abdul Hamid dan Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA polis wanita dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, lebam di muka dan beberapa anggota badan selepas dipercayai dibelasah bekas kekasihnya yang juga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Ahad lalu.

Pergelutan bermula apabila lelaki berkenaan menghubungi wanita terbabit dan meminta mangsa datang ke rumahnya untuk mengambil semula barang miliknya.

Mangsa tidak dapat pergi ke rumah bekas teman lelakinya itu kerana tiada kenderaan, namun lelaki berkenaan memaklumkan dia akan berjumpa mangsa di PGA Cheras, Kuala Lumpur.

Sumber berkata, ketika berjumpa di kawasan berhampiran PGA Cheras, suspek dikatakan merampas telefon bimbit mangsa dengan alasan mahu memadam gambarnya.

“Pergelutan berlaku dalam kereta Honda Civic suspek kerana mangsa mahu mengambil semula telefon bimbitnya.

“Dalam pergelutan itu, mangsa mendakwa dia ditampar di pipi dan ditumbuk di mata kiri,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa kemudian cuba keluar dari kereta bekas kekasihnya itu, namun dihalang sebelum suspek membawanya ke arah Taman Fern Grove di Batu 9, Cheras.

“Sebaik tiba, mangsa mendakwa dia dipukul menyebabkan dia mengalami sesak nafas. Lelaki berkenaan balik ke rumahnya di taman berkenaan dan meninggalkan wanita itu sendirian dalam kenderaan.

“Wanita itu kemudian masuk ke rumah lelaki berkenaan sebelum berlaku pergelutan dengan kepalanya dihentak ke dinding,” katanya.

Sumber berkata, selepas memukul mangsa, suspek menghantar bekas kekasihnya pulang ke rumahnya di kem PGA Cheras dalam keadaan sesak nafas dan lebam di muka, dada dan lengan.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian dan akan memberikan butiran lengkap dalam sidang media esok.

“Kami sudah menerima laporan berhubung kejadian itu. Untuk tindakan lanjut, kami akan tengok sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan undang-undang akan dijalankan.

“Jika ia membabitkan hal pejabat, tindakan tatatertib akan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:40 PM