GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


PENUNTUT kolej ditemui mati dipercayai menembak diri sendiri menggunakan pistol di tandas kolej di Subang Jaya, 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, mangsa sebelum itu dikesan melarikan pistol dari kelab menembak di Petaling Jaya, dua jam sebelum kejadian.

"Mangsa ditemui mati oleh tukang cuci kolej berkenaan di dalam tandas yang berkunci dan terdapat pistol di lantai tandas berkenaan.

"Pekerja berkenaan kemudian melaporkan kepada penyelia sebelum laporan polis dibuat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Muhammad Azlin berkata, mangsa yang berusia 19 tahun, baru 10 bulan menuntut di kolej berkenaan.

"Siasatan mendapati, ayah mangsa memberitahu dia mengalami masalah kemurungan sejak setahun yang lalu.

"Mangsa juga ahli kelab menembak terbabit sejak tahun 2015. Sebelum kejadian, mangsa ke kelab menembak berkenaan sebelum melarikan pistol jenis Walther milik kelab terbabit," katanya.

Katanya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah berhubung kes terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:34 PM