ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM)Kubang Pasu menangkap ular sawa batik di rumah di Kampung Padang, Mukim Temin. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


ULAR sawa batik yang kekenyangan selepas baham ayam berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu di Kampung Padang, Mukim Temin, Changlun, malam tadi.

Dalam kejadian 10.40 malam itu, ular sawa batik terbabit bertindak agresif, namun akhirnya tewas apabila anggota APM berjaya menangkapnya menggunakan teknik kemahiran dan kepakaran mengendalikan reptilia berkenaan walaupun agak berisiko.

Difahamkan, APM mengambil masa 20 minit untuk menangkap reptilia itu.

Sementara itu, kehadiran ular sawa itu mengundang kebimbangan pemilik rumah berkenaan, Mohd Shafie Ismail, 56, bersama keluarganya yang masih dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri.

Pegawai APM Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, ketika itu Mohd Shafie sekeluarga sedang meraikan sanak saudaranya yang bertandang di rumahnya.

“Mohd Shafie hanya menyedari terdapat ular sawa batik melingkar dalam reban ayam miliknya selepas terdengar bunyi bising dari reban berkenaan,” katanya.

Kamarulzamal berkata, selepas menyedari kehadiran ular sawa berkenaan, Mohd Shafie segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang reptilia itu mengancam keselamatan mereka sekeluarga.

"Sejurus menerima maklumat itu, anggota kami bergegas ke lokasi dan mendapati ular sawa berkenaan masih berada di dalam reban ayam berkenaan.

"Operasi Pasukan Charlie disertai Ketua Skuad Mohd Shaiful Azhar Ozaly bersama empat anggota berjaya menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas menangkap ular selain kemahiran yang ada.

"Ular sawa itu kemudian dibawa pulang ke pejabat APM Kubang Pasu untuk disimpan sementara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Kamalruzamal menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sekiranya ternampak reptilia seperti itu dan tidak melakukan tindakan sesuka hati termasuk memukul ular berkenaan kerana ia boleh mengancam bahaya.

Katanya, langkah yang perlu dilakukan adalah dengan dengan menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan kerana pasukan penyelamat mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam menangkap ular.

"Orang ramai juga boleh menghubungi terus bilik kawalan APM Kubang Pasu di talian kecemasan 24 jam di nombor 04 -9172084, 04 - 9172328 dan 04-9172119," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:21 AM