GAMBAR tular menunjukkan cop pada tangan kanak-kanak yang bukan untuk mengawal sebaliknya sebagai keseronokan kepada mereka.
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


SETAUSAHA Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Fisol Jaafar menafikan dakwaan pihaknya mengawal pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam seperti yang tular di media sosial.

Mohd Fisol berkata, tangan kanak-kanak terbabit yang dikenakan cop bukanlah untuk mengawal sebaliknya sebagai keseronokan kepada mereka kerana cop itu berbentuk gambar kartun dan bintang.

Menurutnya, malah cop itu hanyalah dakwat air yang boleh dipadam begitu sahaja dan jika ingin mengawal pemberian duit raya pihaknya sudah pasti menggunakan dakwat kekal atau susah untuk dipadam.

"Dakwaan pemberian duit raya hanya RM2 juga tidak benar sebaliknya setiap sampul duit raya diisi sebanyak RM5.

"Semua kanak-kanak dari bayi hingga ke 12 tahun menerima duit raya di mana hampir 6,000 kanak-kanak mendapatduit raya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan yang tular di media sosial Facebook (FB) susulan kenyataan dimuat naik di FB milik Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin hari ini yang mempertikaikan penggunaan cop dalam pemberian duit raya.

Beliau berkata, makanan yang disediakan pada majlis itu juga mencukupi dan dihadiri hampir 35,000 orang.

"Penggunaan cop itu tidak ada masalah pun malah ibu bapa yang hadir juga tidak mempunyai masalah anak mereka dikenakan cop pada tangan.

"Ia juga sebenarnya bukanlah arahan Menteri Besar (Mukhriz) sebaliknya komuniti yang membuatnya semata-mata untuk menghiburkan kanak-kanak dengan cop kartun dan bintang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 9:45 PM