GAMBAR hiasan
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my

DUA maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 328, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, dekat Raub, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 1.55 pagi itu penuntut kolej swasta, Badrulhisham Abdullah, 21, dan rakannya, Azrool Afifi Abdullah, 26, meninggal dunia .

Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu Badrulhisham yang dalam perjalanan dari Kelantan menghala ke ibu negara terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV dari arah hadapan.

“Pemandu (Badrulhisham) dan penumpang hadapan kereta terbabit (Azrool Afifi) meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raub akibat parah di kepala dan badan.

“Dua lagi rakan mereka di tempat duduk belakang turut mengalami kecederaan serius pada kepala dan masih dirawat di hospital sama,” katanya ketika dihubungi di Raub, hari ini.

Wan Zahari berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat kegagalan mangsa mengawal kenderaan dan memandu dengan cuai hingga terbabas ke laluan bertentangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 8:56 PM