NOOR Neelofa Mohd Noor. FOTO Asyraf Hamzah
Nurhayati Abllah; Zaidi Mohamad dan Manirajan Ramasamy
cnews@nstp.com.my


KERAJAAN perlu mewujudkan mekanisme baharu untuk membantu usahawan mengekang produk tiruan, kata selebriti dan pengasas Naelofar Hijab, Noor Neelofa Mohd Noor.

“Saya banyak berkongsi daripada perspektif bisnes saya dan masalah dalaman yang dihadapi dengan Naelofar Hijab. Contohnya, produk tiruan yang kami hadapi.

“Kami pernah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Kastam tetapi kosnya sangat tinggi bagi menyelesaikan masalah itu.

“Jadi, saya cadangkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), mungkin boleh bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk terus menutup akaun palsu penjual produk tiruan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama MPK, di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, Neelofa yang juga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd berkata, kerajaan juga diharapkan dapat mempermudahkan proses permohonan dana dan geran bagi membantu peniaga terutama daripada kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Langkah itu, katanya, termasuk menerusi penyediaan proses dokumentasi dan maklumat secukupnya di bawah satu bumbung.

“Banyak kekangan dihadapi usahawan selama 20 tahun lalu disebabkan banyak agensi yang mempunyai pertindihan fungsi,” katanya

Neelofa yang dikenali dengan rangkaian koleksi tudung Naelofar Hijab memperluaskan rangkaian jualan dalam talian di lebih 37 negara, termasuk Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Saudi Arabia, Norway, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura dan Brunei.

Sementara itu, syarikat penerbitan kandungan animasi tempatan, Les’ Copaque Production Sdn Bhd (Les’ Copaque), yakin cadangan membangunkan Taman Tema Upin & Ipin setaraf Universal Studios boleh membantu pertumbuhan industri pelancongan, selain limpahan faedah lain.

Pengarah Urusan Les’ Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, siri animasi Upin & Ipin dianggap jenama besar yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan sektor pelancongan dan industri hiliran di Malaysia.

Pada pertemuan dengan MPK itu, Burhanuddin membentangkan cadangan membangunkan Taman Tema Upin & Ipin yang mula diumumkan pada 2014, namun terbantut akibat kekangan dana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 8:13 PM