AHMAD Faizal (kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika hadir Sesi Dialog Bersama Penduduk Mangsa Banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Pahang, Tapah, hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KERAJAAN Perak dijangka mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan dengan memotong gaji Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebanyak 10 peratus bagi mengurangkan beban kewangan negeri.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan diputuskan secara rasmi dalam Mesyuarat EXCO pada minggu depan dan percaya dipersetujui semua EXCO.

“Sebenarnya saya ingin bincangkan dan putuskan perkara ini dalam mesyuarat EXCO semalam, namun saya ingin berterus-terang bahawa saya terlupa mengenainya.

“Kerajaan Perak memang berharap menjadi negeri pertama mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memotong 10 peratus gaji Menteri Kabinet.

“Namun kami tidak berkesempatan membincangkannya dan menjadikan negeri Johor dan Kedah mendahului dalam mengikut langkah pemotongan gaji itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi dialog bersama mangsa banjir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Pahang di Tapah, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Mesyuarat Kabinet memutuskan gaji Jemaah Menteri dipotong 10 peratus berkuat kuasa serta-merta.

Dr Mahathir dilaporkan berkata persetujuan pemotongan gaji asas sebanyak 10 peratus itu menunjukkan Jemaah Menteri prihatin terhadap masalah kewangan negara.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan melancarkan Tabung Patriot dalam usaha mengumpul dana daripada semua pihak termasuk rakyat yang sudi menderma bagi pembangunan negeri selain bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

“Semalam terdapat pihak yang bertemu dengan saya dan menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM100,000 sekali gus menjadikan Tabung Patriot berkenaan diwujudkan secara tidak rasmi.

“Tabung ini akan dilancarkan secara rasmi dalam masa terdekat bagi membolehkan usaha membangunkan kerajaan dijalankan secara bersama oleh semua pihak di mana mengambil konsep daripada rakyat untuk rakyat sama seperti Tabung Harapan Malaysia yang diwujudkan,” katanya.

Berita berkaitan

Kedah juga umum potong gaji MB, EXCO

Johor potong gaji EXCO

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 6:45 PM