MOHD Fahmi cuba kumpul dana untuk hasilkan grafiti gergasi .
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bagi meluahkan rasa kecintaan pada tanah air dan pemimpin negara, tiga sahahat kini dalam proses melakukan persiapan untuk menghasilkan grafiti gergasi wajah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun usaha pereka grafik, Mohd Fahmi Mohammad Fabilah, 36, bersama dua rakan iaitu Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, 25, dan Emy Falizal Faidzul, 42, terbantut berikutan berdepan kekangan kewangan untuk menghasilkan grafiti berukuran 4 meter x 12 meter yang dirancang.

Mengikut perancangan tiga sahabat itu bercadang melukis grafiti berkenaan pada dinding jejambat Kota Warisan, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) berhampiran Dengkil.

Mohd Fahmi berkata, usaha itu juga bertujuan membuktikan ketaatan dan kecintaan mereka kepada kedua-dua tokoh berkenaan yang bertanggungjawab membina Malaysia Baru.

“Selepas berbincang timbul idea untuk luahkan rasa itu menerusi karya di dinding. Selain wajah kedua-dua tokoh itu kami bercadang untuk memasukkan perkataan New Malaysia (Malaysia Baru).

“Bagaimanapun, kos untuk tampung pembelian penyembur, cat dan berus dianggarkan RM3,000 masih belum cukup, jadi kami terpaksa tangguh projek ini meskipun bersemangat untuk memulakannya,” katanya.

Katanya, setiap kali selesai pilihan raya umum (PRU) mereka akan menghasilkan grafiti bertemakan pemimpin parti politik termasuk Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dia menjangkakan akan mengambil masa seminggu untuk menyiapkan grafiti berkenaan agar berkualiti dan sempurna pada dinding.

Berikutan itu, Mohd Fahmi berharap ada individu atau pihak korporat sudi membantu mereka untuk menyiapkan projek itu yang dijangka dimulakan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:23 AM