ZARIHAN bersama tiga dari lima anaknya ketika ditemui di rumah mereka di Taman College Height, Sikamat, Seremban.
Mohd Khidir Zakaria
cnews@nstp.com.my

Seremban: “Aidilfitri tidak lama lagi, namun saya tak mampu buat apa-apa persiapan kerana tiada duit, malah terpaksa berpindah kerana rumah ini akan dilelong,” dakwa ibu tunggal, Zarihan Zainuddin, 42.

Ditemui di rumahnya di Taman College Height, Sikamat di sini, kelmarin, Zarihan mendakwa dia tertekan memikirkan nasib diri dan lima anaknya berusia lapan hingga 17 tahun.

“Kami tak tahu ke mana hendak pergi. Bukan senang nak cari rumah sewa apatah lagi saya langsung tiada duit sekarang.

“Usahkan nak cari wang untuk sewa rumah, hendak makan pun terpaksa catu.

“Saya tak tahu nak mengadu kepada siapa lagi kerana keluarga sendiri pun bukan orang berada,” katanya yang menjual kuih di bazar Ramadan berhampiran rumahnya.

Zarihan berkata, dia bercadang mencari rumah sewa di sekitar Sikamat kerana dekat dengan sekolah anaknya, namun kadar sewa agak tinggi dan di luar kemampuannya.

“Saya tak dapat lakukan kerja berat kerana menghadapi sakit tulang belakang. Buat masa ini, saya mendapat bantuan barangan dapur daripada Baitulmal untuk tempoh tiga bulan.

“Saya berterima kasih kepada jiran yang tidak lokek membantu,” katanya.

Dia berharap dapat mencari rumah sewa yang murah segera selain kerja bersesuaian dengan kemampuannya di Sikamat bagi membolehkannya mencari rezeki halal untuk membesarkan anak.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Asnaf dan Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan barangan dapur kepada keluarga berkenaan buat masa ini.

Katanya, orang ramai yang mahu membantu meringankan beban keluarga itu boleh menghubunginya di talian 012-9805132 atau terus menyumbang ke akaun ibu tunggal terbabit melalui akaun Maybank 155135207981 (Zarihan Zainidin).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 4:21 AM