LOKASI mangsa diserang buaya ketika mandi sungai di Kampung Popok, Kota Marudu, Sabtu lalu. (Gambar kecil) kaki mangsa yang parah akibat digigit buaya. FOTO ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


LELAKI parah akibat diserang buaya ketika mandi di sungai dekat Kampung Popok, di Kota Marudu, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 3 petang itu, Aidi Amir, 36, mandi di sungai berikutan kampung terbabit menghadapi masalah bekalan air sebelum diserang reptilia itu menyebabkan dia parah di kaki.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Berdasarkan laporan, mangsa bersama seorang rakannya pergi ke sungai itu untuk mandi dan ketika berada di tebing, tiba-tiba kakinya disambar buaya sebelum ditarik ke dalam sungai.

“Rakannya kemudian menarik mangsa sehingga terlepas daripada gigitan buaya berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Augustine berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Susulan kejadian itu, anggota Jabatan Hidupan Liar sudah memasang pancing buaya di lokasi terbabit.

“Setakat ini, buaya itu belum ditemui dan ia adalah kejadian pertama dilaporkan kepada kami membabitkan lokasi berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 8:31 AM