KEADAAN kemalangan melibatkan dua jenis kenderaan proton saga dan lexus di Jalan Seramak Nilai yang menyebabkan seorang maut di tempat kejadian. FOTO/IHSAN PEMBACA
Nur Aqidah Azizi dan Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
cnews@nstp.com.my


PENUNTUT warga Nigeria terbunuh manakala seorang wanita cedera ringan dalam kemalangan jalan raya di Jalan Semarak dekat Taman Semarah, Nilai, hari ini.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, penuntut lelaki sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur berusia 20-an itu meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

Difahamkan, Proton Saga dipandu mangsa dari Taman Semarak ke bandar Nilai itu hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus dipandu seorang wanita.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Khairollizal Abu Kasim berkata, satu pasukan bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.30 pagi.

“Pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nilai turut bergegas ke tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Pemandu SUV iaitu wanita berusia 39 tahun hanya cedera ringan dan kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 1:37 PM